Jumaat, 3 Sep 2010   09:11
Peta Laman Pautan Hubungi Kami


Berita Terkini
Berita Industri
Berita Syarikat

Laman UtamaFDI di Asia Tenggara dijangka melonjak     
FDI di Asia Tenggara dijangka melonjak

Setelah beberapa tahun mencurahkan pelaburan langsung ke China, syarikat-syarikat asing semakin sedar yang  negara-negara Asia Tenggara adalah lebih menarik.

Menurut beberapa pakar analisis pelaburan, rantau ini mungkin akan menyaksikan lonjakan kemasukan pelaburan asing di masa depan.

“Dari segi ekonomi Asia Tenggara, bahagian yang agak tertinggal dalam pertumbuhannya ialah pelaburan.

“Keadaan ini sudah mula berubah.  Jadi, tiada sebab mengapa ekonomi negara-negara ini tidak dapat berkembang pada kadar 7 hingga 8 peratus secara mapan jika berlaku lonjakan dalam pelaburan berbanding kadar pertumbuhan 5 hingga 6 peratus yang dialami pada beberapa tahun yang lalu,” kata ahli ekonomi Lehman Brothers, Rob Subramaniam.

Semegangnya, bukti-bukti menunjukkan yang pelaburan langsung asing (FDI) sedang meningkat di rantau ini.

Texas Instruments, pengeluar cip mudah alih terbesar dunia, baru-baru ini mengumumkan yang ia akan membina sebuah kilang bernilai AS$1 bilion di Filipina.  Tarikan Vietnam sebagai destinasi FDI telah mula meningkat sejak ia menganggotai Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) pada Januari lalu, manakala negara-negara yang dahulunya agak muram dari segi pelaburan asing kini menyaksikan tanda-tanda perubahan.

Malaysia meluluskan rekod tertinggi FDI sebanyak AS$5.78 bilion dalam sektor perkilangan pada 2006 dan Indonesia menerima permohonan pelaburan asing dan domestik  tertinggi pernah dicatatkan pada suku pertama tahun ini.

Peningkatan pelaburan asing di Asia Tenggara dikatakan dipacu oleh beberapa faktor, antaranya inflasi yang terkawal, kewangan negara yang bertambah baik, pengurangan cukai korporat dan langkah-langkah lain yang diambil untuk menggalakkan pelaburan.

“Gambaran menyeluruh pelaburan, bukan saja FDI, semakin bertambah baik – terdapat peningkatan pelaburan dalam infrastruktur, pemulihan kitar hartanah, kekangan kapasiti dalam perkilangan yang menyebabkan berlakunya lebih banyak pelaburan dalam loji dan peralatan,” kata Ketua Penyelidik Ekonomi Kumpulan Centennial, Manu Bhaskaran.

China menarik FDI sebanyak AS$70 bilion pada tahun 2006.  FDI yang mengalir ke 10 anggota negara-negara ASEAN dianggarkan AS$45 bilion pada 2006 berbanding AS$40 bilion pada tahun sebelumnya.

Jumlah itu dijangka meningkat di masa depan dan jurangnya dengan China akan lebih mengecil.

Lebih banyak syarikat mengamalkan pendekatan ‘China campur satu’, iaitu mengekalkan  kilang mereka di China tetapi turut membina kilang kedua di Asia Tenggara untuk mengawal kos, kata seorang ahli ekonomi Kanada  berpangkalan di Singapura.

Lawrence Yeo, Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat perunding strategi dan pelaburan Asia,  AsiaBiz Strategy, berkata kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi di negara-negara Asia Tenggara kini menjadi satu tarikan kepada para pelabur yang mahu mengembangkan pasaran dan menurunkan kos.

Pada masa sama, kerajaan-kerajaan di rantau ini pula sedang mempertingkatkan usaha bagi menggalakkan pelaburan.  Misalnya, Malaysia dan Singapura telah mengurangkan cukai korporat dalam bajet terakhir mereka, manakala Indonesia pada Mac lalu telah meluluskan sebuah perundangan mesra pelaburan yang menangani isu seperti hak milik tanah.

Ini dilihat sebagai satu langkah untuk membantu Indonesia mengatasi masalah kelemahan dalam pengaliran FDI yang kini menyumbang kurang satu peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Aliran FDI menyumbang kira-kira tiga peratus kepada KDNK Malaysia dan lebih 15 peratus kepada KDNK di Singapura.

Disunting dpd Business Times, 17 Mei 2007



Kemaskini Terakhir: 21 May 2007 01:25 PM Atas | Kembali

Paparan terbaik menggunakan Microsoft Internet Explorer 5 ke atas dengan resolusi skrin 800x600 pixel
Hak milik © 2005 MIDA. Semua hak terpelihara. Penafian. Terma Perkhidmatan.

MIDA Content Feeds.